Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya. Kedua, carilah yang mempunyai harta. Ketiga carilah yang baik keturunannya dan keempat, carilah yang beriman. Di antara keempat-empat ciri ini, yang beriman perlu diutamakan. Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semula jadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan. Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya. Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya. Semuanya nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak peri laku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul. Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan