MENGENDALI MAJLIS PERKAHWINAN

Tatkala mempelai diijab kabul, ditepung tawar, berinai, bersanding dan seterusnya makan berhadap, hati ibu bapa resah mengharapkan majlis berjalan lancar seperti dirancang. Bukan mudah mengadakan majlis perkahwinan biar kecil mahu pun besar, di rumah mahu pun di hotel. Persediaannya kadang kala telah bermula beberapa bulan sebelum hari besar. Bermacam-macam perkara perlu diperincikan dengan teliti demi menjamin majlis berjalan lancar. Walaupun kos telah ditentukan, biasanya belanja untuk perkara remeh-temeh tetap melambung. Untuk memudahkan anda memperincikan belanjawan majlis, di sini diperturunkan serba sedikit perkara-perkara yang perlu diambil kira:

  1. Kos kenduri - nasi minyak dan lauk pauk, minuman, menu untuk makan berhadap.

  2. Belanja penanggar (pembantu-pembantu) termasuk makan, minum dan rokok.

  3. Kos khemah dan kerusi meja termasuk alas.

  4. Air dan bahan pencuci untuk membasuh pinggan mangkuk.

  5. Belanja untuk seni kraftangan seperti dulang hantaran, bunga telur, pelamin, bunga manggar dan sebagainya.

  6. Kos penginapan dan pengangkutan - wakil dan rombongan pengantin.

  7. Kos kad jemputan dan setem.

  8. Kos pasukan kompang atau muzik lain.

  9. Kos luar jangkaan.

Selain belanjawan, anda juga perlu mengagih-agihkan tugasan. Tugas memasak, tugas mencuci, menghidang, menyediakan air minuman, membahagi telur pengantin, pelayan meja utama, penyambut tetamu dan banyak lagi. Walaupun nampak remeh, perkara-perkara kecil seperti ini jika tidak disusun dengan teratur mungkin boleh mencacatkan majlis. Carilah orang-orang yang berpengalaman untuk mengetuai setiap bahagian. Jika anda mengadakan majlis di hotel, anda tidak perlu memperincikan tugasan-tugasan ini kerana pihak hotel akan mengendalikan kesemuanya.

Kebelakangan ini, kebanyakan majlis perkahwinan terutamanya di bandar-bandar diadakan secara bufet. Kaedah ini ternyata lebih mudah dikendalikan kerana anda tidak memerlukan ramai pelayan dan kerja-kerja penanggah lebih teratur dan lancar. Namun cara hidangan biasa tetap menjadi pilihan di kebanyakan majlis terutama di kawasan luar bandar kerana ia ternyata lebih meriah.




Tiada ulasan:

Pages